BENARKAH DAUN SEMAMBU MERAWAT JANGKITAN COVID-19?

Oleh : Dr. Che Puteh Osman

Pokok semambu atau dikenali sebagai neem dalam bahasa Inggeris, telah terbukti secara saintifik membunuh dan menghalau serangga perosak. Pokok semambu dikenali secara saintifik sebagai Azadirachta indica A Juss dari keluarga Maliaceae.

Biji dan daun semambu, mempunyai satu jenis sebatian kimia hasilan semulajadi azadirachtin dan isomernya, sejenis limonoid yang terbukti berkesan membunuh dan menghalau serangga perosak. Azadirachtin banyak didapati di dalam biji buahnya, namun ia juga boleh didapati daripada bahagian lain.

daun semambu

Kandungan azadirachtin di dalam biji buahnya adalah antara 0.08% sehingga 1.6%. Komposisi sebatian kimia azadirachtin bergantung kepada beberapa faktor antaranya kelembapan, jenis tanah, jumlah air hujan, keasidan tanah, nutrisi di dalam tanah dan variasi genetik.

Azadirachtin dikenalpasti membunuh dan menghalau serangga perosak dengan menjadi penghalau bertoksik, menyebabkan kemandulan, menghalang tumbesaran dan menghalang serangga dari makan tumbuhan.

struktur kimia daun semambu

Ekstrak biji dan daun pokok semambu ini boleh menjadi alternatif kepada racun perosak untuk kebun tanaman organik dan juga kawasan yang kurang akses kepada racun serangga perosak yang lebih berkesan.

Tetapi untuk mengatakan dia berkesan merawat jangkitan COVID, ia memerlukan pembuktian secara klinikal ke atas manusia. Ini kerana sebatian kimia aktif yang ada dalam neem perlu diformulasi dengan kaedah yang tepat supaya sampai kepada sasaran dalam badan. Kalau tidak ia akan termusnah dicerna oleh asid di dalam jus gastrik di dalam perut.

Sehingga kini tiada kajian secara klinikal mahupun secara tabung uji menunjukkan ekstrak neem merencat pertumbuhan coronavirus yang lain apatah lagi novel coronavirus sekarang iaitu COVID-19.

Neem digunakan secara tradisi dalam perubatan Ayurveda bagi meningkatkan sistem imun. Kajian ke atas tikus dan tabung uji menunjukkan ekstrak neem meningkat response sistem imun tetapi tidak spesifik kepada antigen (kuman) tetanus yang diberi.

Adakah ekstrak neem meningkatkan sistem imun manusia?

Ia masih memerlukan pembuktian melalui kajian klinikal kepada manusia. Dalam keadaan kita nak membendung pergerakan manusia, janganlah pula berpusu-pusu keluar cari daun semambu.

Virus perlukan hos untuk hidup. Kalau dia tak jumpa hos baru dia akan mati dan hilang. Manusia adalah hos virus COVID-19. Dengan melakukan penjarakkan sosial, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Setakat ini lebih 80% jangkitan COVID-19 adalah ringan. Sehingga artikel ini ditulis, 199 pesakit sembuh walaupun tanpa mengambil sebarang petua ini. Adalah malang jika virus ini memasuki hos yang sistem imunnya lemah maka ia boleh menyebabkan kematian.

Jadi dalam kes 199 yang sembuh sehingga semalam mereka mampu melawan jangkitan COVID. Tetapi mereka perlu dikuarantin untuk memastikan jangkitan tidak bertambah teruk dan tidak menjangkitkan penyakit pada orang lain. Malah selepas tiga kali swab menunjukkan mereka negatif, walaupun dibenarkan pulang rumah, mereka masih perlu dikuarantin lagi 14 hari.

Malah terdapat beberapa laporan kes keracunan disebabkan pengambilan daun semambu terutama di kalangan kanak-kanak. Walaupun tidak kerap didengar, kita tidak mengetahui status kesihatan orang lain. Maka dengarlah nasihat doktor anda.

Jangan pula lepas ini ingkar arahan pihak berkuasa untuk kuarantin dan duduk di rumah sebab anda minum air rebusan neem. Ini adalah sikap mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab.

Sila dengar nasihat pihak berkuasa dan duduk di rumah diam-diam.

Kita tak mahu jadi seperti Italy.

Dr Che Puteh Osman PhD (Natural Product Chemistry)

Rujukan

Adenubi, Olubukola & Ahmed, Aroke & Fasina, Folorunso Oludayo & Mcgaw, Lyndy & Eloff, Jacobus & Naidoo, Vinny. (2018). Pesticidal plants as a possible alternative to synthetic acaricides in tick control: A systematic review and meta-analysis. Industrial Crops and Products, 123, 779-806. 10.1016/j.indcrop.2018.06.075.

Bhaskar, M. V., Pramod, S. J., Jeevika, M. U., Chandan, P. K., & Shetteppa, G. (2010). MR Imaging Findings of Neem Oil Poisoning. American Journal of Neuroradiology, 31(7), E60. doi:10.3174/ajnr.A2146

Brett, J., Beresford, R., Sevastos, J., & Day, R.O. (2011). Neem Extract Poisoning as a Cause of Renal Tubular Acidosis.

Kumar, S., & Kumar, N. (2014). Neem Oil Poisoning as a Cause of Toxic Encephalopathy in an Infant. The Indian Journal of Pediatrics, 81(9), 955-955. doi:10.1007/s12098-013-1327-x

Pai, MR, Acharya, LD, & Udupa, N.Evaluation of antiplaque activity of Azadirachta indica leaf extract gel—a 6-week clinical study. Journal of Ethnopharmacology,2004; 90: 99-103. doi:https://doi.org/10.1016/j.jep.2003.09.035

Shakti N. Upadhyay, Suman Dhawan, Sanjay Garg, G.P. Talwar, (2012) Immunomodulatory effects of neem (Azadirachta indica) oil, International Journal of Immunopharmacology, 14 (7), 1187-1193.

  • Hits: 3124

logo MNPS low res without writingMalaysian Natural Products Society,
d/a Atta-ur-Rahman Institute for Natural Product Discovery (AuRIns),
Universiti Teknologi MARA,
42300, Puncak Alam,
Selangor, MALAYSIA

Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it., This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

© 2021 MNPS. All Rights Reserved